Tuesday, 4 October 2016

Persatuan Pegakap





Image result for persatuan pengakap maklumat




Persekutuan Pengakap Malaysia, ringkasnya PPM ialah suatu pertubuhan beruniform sukarela untuk para belia dan beliawanis. Ianya sebahagian daripada pertubuhan kepengakapan global iaitu Persekutuan Pengakap Sedunia ataupun World Organization of the Scout Movement. Persekutuan Pengakap Malaysia bergerak di bawah Akta Persekutuan Pengakap Malaysia 1968. Sehingga kini, hanya PPM satu-satunya pertubuhan seumpamanya yang dikuatkuasakan melalui akta Parlimen.

Sejarah kepengakapan di Malaysia

Kepengakapan wujud di dunia ini hasil kejayaan perkhemahan anjuran Robert Baden-Powell atau lebih dikenali sebagai BP, di Pulau Brownsea, England pada 31 Julai hingga 9 Ogos 1907. Dari situ, kegiatan berpengakap telahpun muncul di tanahair seawal 1908 lagi dianggotai oleh anak-anak pegawai-pegawai British. Pasukan pertama pengakap bagaimanapun ditubuhkan di Singapura pada 1910 oleh Sir Frank Cooper Sands, seorang pemimpin dari Nottingham, England. Untuk dua dekad seterusnya pergerakan pengakap tersebar ke seluruh Tanah Melayu dan Borneo.

Setelah aktiviti kepengakapan tersebar luas, keperluan untuk mewujudkan badan penyelaras disedari. Sejurus selepas Perang Dunia Kedua, pergerakan pengakap di Tanah Melayu disusun semula menjadi Persekutuan Budak Pengakap Tanah Melayu. Apabila Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, persekutuan ini diterima sebagai ahli Pesekutuan Pengakap Sedunia pada 1 September 1957. Seterusnya, apabila Sabah, Sarawak dan Singapura bergabung bersama Tanah Melayu membentuk Malaysia, pergerakan pengakap negeri-negeri tersebut juga turut bergabung. Hasilnya pada November 1964Persekutuan Pengakap Malaysia ditubuhkan.
Persekutuan Pengakap Malaysia diperbadankan melalui Akta Persekutuan Pengakap Malaysia (Pemerbadan) 1968, dan (Semakan) 1989. Dengan keistimewaan ini Duli-duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja Melayu serta Tuan-tuan Yang Terutama merupakan penaung pergerakan pengakap di peringkat negeri dan nasional.

Keahlian dan peringkat umur pengakap

Keunikan pengakap sebagai unit beruniform yang asal ialah ia menerima ahli dari berbagai lapisan masyarakat. Asal saja seseorang itu menerima prinsip-prinsip yang terkandung di dalam Persetiaan Pengakap dan Undang-undang Pengakap, beliau boleh menyertai pergerakan ini. Keahlian yang bersifat universal ini memupuk perpaduan antara ahli tanpa mengira bangsa, budaya dan fahaman agama. Keahlian pengakap juga tidak dihadkan oleh faktor usia. Malah seseorang itu boleh menjadi pengakap hingga akhir usia dan dari inilah timbul ungkapan "Sekali Berpengakap, Teruskan Berpengakap". Anggota-anggota pergerakan pengakap pula dibahagikan mengikut beberapa peringkat umur seawal 10 tahun hinggalah dewasa.
  • Pengakap Kanak-kanak (bahasa Inggeris: Cub Scout), untuk mereka yang berumur 10 hingga 12 tahun, lazimnya pelajar tahun 4 hingga tahun 6. Motto Pengakap Kanak-kanak ialah Buat Habis Baik.
  • Pengakap Muda ataupun Junior Scout, untuk yang berusia 13 hingga 15 tahun iaitu pelajar tingkatan 1 hingga tingkatan 3. Cogankatanya ialah Selalu Sedia.
  • Pengakap Remaja atau Senior Scout untuk anak-anak muda tingkatan 4 dan 5. Mottonya ialah Pandang Luas.
  • Pengakap Kelana (Rover Scout) untuk ahli-ahli dewasa lepasan sekolah dan tiada had umur. Terdapat juga dua kumpulan latihan kelana yang ditadbir setaraf negeri iaitu Kumpulan Latihan Malaysia (KLM) dan Kumpulan Latihan Kelanasiswa Malaysia (KLKM). KLM dikhususkan bagi penuntut-penuntut Institut Pendidikan Guru (IPG) manakala KLKM untuk penuntut-penuntut di universiti, politeknik dan kolej universiti. Motto pergerakan kelana ialah Berkhidmat.

Organisasi unit kecil pengakap

Setiap kumpulan pengakap di sekolah lazimnya dipanggil trup. Trup ini mempunyai pengenalan khusus berupa lencana-lencana yang dipakai di bahu kanan terdiri dari nama negeri, nama daerah dan nombor kumpulan. Setiap kumpulan atau trup mempunyai nombor unik mengikut giliran ianya ditubuhkan. Contohnya, pasukan atau sekolah yang memakai lencana (KELANTAN), (KOTA BHARU) dan (80) ialah pasukan yang ke-80 ditubuhkan di daerah Kota Bharu di Kelantan.
Trup-trup kelana pula lazimnya dipanggil krew. Pasukan-pasukan krew ini tidak mempunyai nombor sebaliknya menggunakan abjad A,B,C dan sebagainya. KLM dan KLKM pula menggunakan lencana atau flash nama institusi pengajian mereka.
Setiap trup pula dibahagikan kepada patrol yang lazimnya mempunyai 6 pengakap. Setiap trup diketuai oleh ketua, manakala patrol dipimpin oleh ketua patrol dibantu oleh penolong ketua patrol. Di sekolah-sekolah, lazimnya guru-guru penasihat diangkat menjadi pemimpin dan penolong pemimpin, terutama guru-guru yang menyertai latihan manikayu. Di institut pendidikan guru, kolej-kolej dan universiti, ahli-ahli kanan yang telah menamatkan latihan manikayu menjadi pemimpin.